Oleh: AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 2 DIS: Pasukan Selangor mengharapkan bekalan selesa untuk dibawa pulang ke Shah Alam dalam pertembungan pertama separuh akhir Piala Malaysia menentang Pahang.
Pengurus Pasukan, Amirudin Shari mengakui berhadapan Pahang bukan satu cabaran yang mudah namun Selangor sedaya upaya akan mencari gol di Stadium Darul Makmur.
“Ini merupakan cabaran getir musim 2015 kerana Pahang berjaya menewaskan kita 3-1 dalam saingan liga selain Johor Darul Takzim (JDT), Perak, Terengganu dan Kelantan.
“Dari awal kita tidak diberikan harapan untuk melangkah sejauh ini. Agak rugi jika kita tidak memanfaatkan peluang untuk mencipta sejarah selepas hampir 10 tahun kita tidak layak ke separuh akhir.
“Saya kira cabaran jika kita layak ke perlawanan akhir tidaklah seberat cabaran menentang Pahang (separuh akhir),” katanya kepada Selangor Kini.
Katanya, berdasarkan perkembangan semasa beliau percaya pemain The Red Giants akan memberikan fokus sepenuhnya bagi memenuhi hasrat bermain di pentas akhir bulan hadapan.
Selain Selangor dan Pahang, Felda United dan Kedah turut beraksi di peringkat sama bagi memburu slot akhir merebut kejuaraan Piala Malaysia.
EZY