Categories
SELANGOR

Selangor bentuk pelan komprehensif pupuk budaya kitar semula

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri akan menyediakan pelan tindakan komprehensif dalam menumpukan usaha memastikan kitar semula menjadi budaya rakyat negeri termaju itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata pelan itu membabitkan pemantapan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan memastikan kitar semula dan pengasingan sisa dari sumber sebagai kompenan utama.

Katanya, ia turut merangkumi pendekatan sistem pengasingan secara sukarela dengan melaksanakan program kesedaran di semua peringkat masyarakat.

EAN YONG“Kita juga akan memperkasakan kemampuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan komuniti dalam pengurusan kitar semula sampah dengan sokongan kewangan sekiranya perlu.

“Kerajaan Negeri juga akan mengenal pasti kaedah pelupusan sampah ‘waste to energy’ sebagai pemangkin kepada pengasingan sampah selain memberikan peluang ekonomi yang lebih baik kepada perniagaan barangan kitar semula,” katanya dalam sidang media, di sini.

Ean berkata, pelan itu diambil kira selepas melihat hasil projek perintis di empat PBT yang mula dijalankan sejak Mei lalu.

Empat PBT itu membabtikan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Ia juga bertujuan untuk membuat anggaran kos dan faedah pelaksanaan sistem baharu yang boleh diguna pakai oleh semua PBT negeri itu,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.