KUALA LUMPUR 1 DIS: Primadona Mariani atau Mariam Ismail, 82, disahkan meninggal dunia akibat kanser usus di kediamannya di Sentul pada jam 7.32 malam tadi.
Berita sedih itu disahkan sendiri oleh anak pelakon itu, Melissa Saila di laman Facebooknya.
“Bismillahirohmanirahim..Ibu saya Mariam @Mariani Bt. Ismail baru menghembuskan nafas terakhir beliau pada 7.32 malam..Jenazah di 12A,Lorong Sentul Jaya 3, Taman Kosmo Jaya..Sentul.Rancangan pengkebumian akan diupdate kelak,” tulis Melissa.
Mariani merupakan seorang seniwati Melayu terkenal yang juga kakak kepada biduanita Puan Sri Saloma. Nama sebenar beliau ialah Siti Mariam Ismail.
Beliau dilahirkan pada 20 April 1933 di Tanjung Pagar, Singapura. Beliau adalah antara seniwati paling bergaya sewaktu kegemilangan Studio Jalan Ampas.
Sepanjang kehidupan beliau, beliau pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Bersama suami pertamanya iaitu Darus, Mariani dikurniakan dua anak iaitu Noraini dan Normala.
Manakala bersama suami kedua pula, Allahyarham H. M. Rohaizad, Maraini mendapat enam anak iaitu Sharifah Haslinda, Sharifah Rozita, Syed Herwaini, kembar Syed Marhain dan Syed Nazran dan Syed Hasnidan.
Sementara bersama suami ketiganya, Alias, Mariani memperoleh lima orang anak iaitu Iskandar Mierza, Shahruniza, Ariff Efandi, Kamarul Ariffin dan Melissa Saila.
Selangor Kini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Mariani. Al-Fatihah.
EZY