Categories
NASIONAL

SPRM: Siasatan SRC, RM2.6 bilion Najib siap minggu depan

SHAH ALAM 28 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal mengemukakan hasil siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International dan derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada minggu depan.

Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin, berkata beliau memberi jaminan bahawa kedua-dua siasatan itu dilakukan secara bebas, telus, dan profesional.

Najib-1MDB“Saya selaku Pengarah Bahagian Operasi Khas, ingin memaklumkan yang pasukan siasatan kes ini diberi panduan dan amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed bahawa pasukan siasatan mesti merekodkan syor berkenaan hasil siasatan dengan bebas iaitu sama ada terdapat kes ataupun sebaliknya.

“Jika terdapat kes, menjadi tanggungjawab kami untuk mencadangkan pertuduhan dalam laporan Kertas Siasatan yang dikemukakan kepada Peguam Negara pada minggu depan. Begitu juga sebaliknya.

“Pengurusan Tertinggi SPRM berpendirian perkara ini penting bagi memastikan semua pihak  mengetahui yang SPRM  mengambil segala tindakan secara profesional dan bebas,” katanya dalam kenyataan media.

Bahri berkata demikian ketika mengulas laporan beberapa portal dan akhbar yang memetik karya Datuk A Kadir Jasin yang mempertikaikan siasatan SPRM itu mungkin satu muslihat.

Isu RM2.6 bilion pertama kali timbul pada Julai lalu apabila The Wall Street Journal melaporkan bahawa wang berkenaan disalurkan ke akaun bank peribadi Najib ketika pilihan raya umum ke-13.

Turut disalurkan dalam akaun Najib mengikut laporan itu adalah dana RM42 juta yang didakwa dari SRC International. Najib sebelum ini, menafikan sebarang salah laku.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.