Categories
SELANGOR

Artis terkenal teruja jayakan Santai GeMS, saran lebih kerap

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 JAN: Artis terkenal tanah air melahirkan rasa teruja apabila diberi peluang bergabung dengan tokoh agama bagi menjayakan sambutan tahun baru berkonsepkan santai, keilmuan dan diselang-selikan dengan hiburan lawak jenaka.

Artis terlibat yang sempat ditemui SelangorKini turut sependapat menyarankan supaya program berkonsep sama dengan program seumpama Santai GeMS (Generasi Idaman Selangor) Ambang Tahun 2016 diadakan lebih kerap.

AFLIN“Saya rasa tahun baru memang patut kita sambut dengan majlis ilmu. Jadi saya rasa sambutan tahun baru dengan keilmuan dan diselang-selikan dengan hiburan memang baik sekali dan perlu dikerapkan, sambil-sambil kita berhibur, kita mendapat ilmu untuk menempuh kehidupan kita pada tahun mendatang,” kata pelakon dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki.

Yana Shamsudin pula mencadangkan supaya program seumpama ini diadakan pada setiap kali menjelangkan musim cuti panjang sekaligus menonjolkan Shah Alam sebagai kota ilmu dan pada masa sama juga kota seni.

YANA“Pada malam tahun baru ini, aktiviti seperti ini mampu mengelakkan aktiviti tak elok berlaku dan dapat mengisi diri kita dengan ilmu dan saya bersyukur kerana dijemput. Kalau saya bukan artis pun saya memang nak datang sini.

“Aktiviti begini harus dikerapkan sebab kita tak sangka Dataran Kemerdekaan ini begitu penuh sekali. Kalau boleh setiap kali cuti kita buat. Barisan ustaznya memang hebat. Tadi pun saya sejam macam tak cukup. Boleh buat volume 1, volume 2 dan seterusnya,” kata Yana Shamsudin.

Shahrul Shiro pula berkata, artis dan tokoh agama jemputan malam tadi berjaya menarik pengikut masing-masing termasuk golongan mat rempit yang sekaligus menyaksikan Dataran Kemerdekaan dibanjiri lebih 7,000 hadirin.

SHAROL“Beberapa tahun lepas saya banyak buat program lain yang lebih kepada keduniaan tetapi pada malam ini, alhamdullilah saya terlibat program keagamaan. Saya rasa amat bangga kerana program seperti inilah yang saya nak.

“Gabungan ustaz dan rakan artis sangat bijak kerana apabila kami bersama atas satu pentas mampu menarik ramai penonton dari pelbagai lapisan,” kata Shahrul.

Selain Afdlin, Shahrul dan Yana, selebriti lain yang turut menjayakan program Santai GeMS Ambang Tahun 2016 adalah, Ajak Shiro, Abam Bocey, Diana Amir, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Haslin Bollywood dan Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Mohd Jaafarudin Md Ali.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.