OLEH: Syed Ibrahim Syed Noh
Isu operasi bauksit di Kuantan sudah melangkau dan melanggar hak kemanusiaan dan alam. Rakyat bukan sahaja menanggung risiko kesihatan sekarang tetapi pada masa hadapan.
Rakyat bukan lagi tuan yang sepatutnya ditunaikan hak dan amanah ke atasnya tetapi menjadi hamba kepada tuan yang tamak haloba dan seolah-olah lupa Tuhan.
Walaupun bahan bauksit boleh membawa manfaat untuk rakyat dan negara jika dikawal selia dengan baik tetapi akibat ketamakan, sikap tidak amanah dan tidak berpegang kepada prinsip mensejahtera dan memelihara rakyat, maka kesemua itu menjadi manis di bibir sahaja, malah lebih malang lagi membawa keburukan dan kerosakan kepada manusia dan alam.
Lebih banyak bauksit dilombong, lebih banyak wang yang masuk dalam kantung hinggakan kelabu mata walau menjahanamkan seluruh sistem ekologi atau ekosistem dan nyawa manusia. Insiden laut dan sungai bertukar merah adalah buktinya.
Ini salah siapa? Adakah benar ini salah pelombong bauksit? Adakah benar ini salah pemandu lori?
Adakah benar ini salah penguatkuasa? Atau salah Konsortium Pelabuhan Kuantan? Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG)? Pejabat Tanah dan Galian (PTG)? Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)? Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)?Atau salah kerabat diraja Pahang? Atau sebenarnya salah MB dan Kerajaan Negeri Pahang? Atau salah Kerajaan Persekutuan?
Ada yang berani berkata ini salah semua! Yang merancang, yang memudahcara, yang melaksana, yang merestui, yang berdiam diri dan yang bersubahat.
Sebenarnya sebagai langkah paling bertanggungjawab dan amanah, wajib ada pihak yang tampil ke hadapan dan memberi pengakuan mengambil tanggungjawab lama dahulu, malah berani meletakkan jawatan sambil yang lebih penting mencari jalan penyelesaian terbaik sebelum termasuk dalam ranking dunia sebagai antara tragedi terburuk dunia.
Matlamat tertinggi sesebuah kerajaan yang adil yang dipilih dan diberi amanah oleh rakyat ialah mensejahtera, memelihara, mentadbir sumber alam dan potensi yang ada agar kemakmuran, keadilan, kebebasan dan keamanan dapat dikecapi oleh rakyat merentasi sempadan bangsa, kaum, budaya dan agama.
Fungsinya meluaskan rahmat kepada rakyat yang merangkumi segala aspek objektif syariah (maqasid syariah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahah kemanusiaan.
Sekiranya matlamat dan fungsi ini difahami, insiden operasi bauksit di Kuantan tidak akan berpanjangan, malah tidak boleh berlaku.
Bolehkah YAB Menteri Besar Pahang, Kerajaan Negerinya dan Kerajaan Persekutuan diharapkan atau mereka akan terus berdiam diri dan menghukum rakyat?
Saya kagumi usaha Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Indera Mahkota, YB Dato’ Fauzi Abdul Rahman dan Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit (GERAM) yang berusaha di setiap peringkat untuk mengatasi masalah ini walaupun berdepan banyak halangan.
Saya percaya seluruh rakyat Kuantan dan persekitarannya menyokong usaha mereka dan tidak akan berdiam diri sehingga isu ini selesai.
Pelombongan bauksit ini perlu dihentikan segera selagi mana tiada usaha terancang dilakukan dengan mengambil kira kepentingan kemanusiaan dan alam sebagai kepentingan paling utama.
* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan KEADILAN