SHAH ALAM 11 JAN : KEADILAN mendesak Kerajaan Pahang supaya membatalkan kenaikan kadar urusan di pejabat tanah yang dinaikkan mendadak dengan segera.
Ketua Penerangan AMK Keadilan, Lee Chean Chun, berkata Kerajaan Pahang seharusnya mencari jalan bagi meningkatkan kecekapan urus tadbir negeri serta mengurangkan projek membazir wang rakyat bagi meningkatkan pendapatan negeri.
Katanya, mulai 2016, bayaran carian rasmi yang pada dahulunya hanya RM30 kini dinaikkan 330 peratus kepada RM100.
Manakala kadar bayaran untuk carian persendirian di pejabat tanah yang dahulunya RM20 pula dinaikkan 150 peratus kepada RM50.
“Selain itu, bayaran untuk pendaftaran pindah milik tanah turut dinaikkan 60 peratus. Kadar baru untuk pindah milik hartanah bernilai RM100,001 hingga RM250,000 adalah RM400, berbanding dengan RM250 sebelum ini,” kata Chean Chun yang juga Adun Semambu dalam kenyataan media.
Beliau berkata bagi tanah bernilai RM250,001 hingga RM500,000, kadar terdahulu RM500 kini dinaikkan kepada RM800 manakala pendaftaran pindah milik bagi hartanah bernilai RM500,000 ke atas dinaikkan daripada RM550 kepada RM1,200 (kadar kenaikan 118 peratus).
“Saya tidak melihat sebarang rasional disebalik kenaikan kadar ini kerana tindakan tersebut kelihatan hanya meningkatkan beban warga Pahang.
“Dalam keadaan rakyat sengsara dengan kenaikan harga barang dan pelaksanaan GST, keputusan Kerajaan Pahang tidak wajar dan membebankan rakyat,” katanya.
EZY