Categories
KENYATAAN MEDIA

Masih berjalan, mana arahan henti perlombongan bauksit?

Oleh: Wong Chun Yuan

Berikutan Pengumuman Kabinet semalam yang mengarahkan supaya segala aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang dihentikan sementara[1], saya telah mengadakan lawatan ke tapak perlombongan bauksit di sekitar Jabor pada tengah hari tadi.

Lawatan saya pada jam 12:30 tengah hari tadi mendapati bahawa aktiviti perlombongan bauksit di kawasan Jabor bukan sahaja tidak dihentikan, malahan kelihatan lebih giat dan lebih aktif berbanding dengan keadaan sebelum pengumuman kabinet dibuat.

Lori dan treler kelihatan beratur di simpang masuk ke tapak perlombongan bauksit dan setiap lori yang keluar dari tapak perlombongan penuh dengan angkutan hasil lombong bauksit.

bauksitPengiraan saya di tapak menganggarkan bahawa sejumlah 100 buah lori dan treler yang mengangkut hasil lombong bauksit keluar dari tapak perlombongan bauksit dalam masa satu jam saya berada di situ.

Persoalan yang saya ingin bangkitkan adalah mengapakah pihak berkuasa tidak kelihatan menjalankan tugas sedangkan arahan berhenti lombong telah diberi oleh kabinet?

Adakah ini bermaksud perlombongan bauksit secara bermaharajalela ini boleh diteruskan sedangkan kabinet telah mengarahakan supaya perlombongan dihentikan sementara?

Saya mendesak Kerajaan Persekutuan supaya bertindak keras dalam isu bauksit dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengingkar arahan yang diberi ini.

Jangan menjadi semacam Kerajaan Negeri Pahang yang kelihatan tidak berkemampuan dalam menangani isu pencemaran bauksit ini.

Sudah setahun isu ini dibangkitkan tetapi Kerajaan Negeri masih kelihatan tidak berkemampuan dalam menyelesaikan isu ini.

Keadaan yang teruk sekarang di mana laut dan sungai dicemari serta air minuman harian warga Kuantan mengandungi merkuri dan logam yang melebihi piawai adalah disebabkan oleh sikap Kerajaan Negeri Pahang yang tidak serius serta tidak mengendahkan nasib dan kesihatan warga Kuantan!

Isu pencemaran bauksit sudah sampai ke satu tahap yang perlu penyelesaian segera dan tiada ruang untuk bertolak ansur.

Maka, Angkatan Muda KEADILAN Pahang mendesak supaya segala aktiviti perlombongan dihentikan SEGERA secara SEPENUHNYA. Buktikan bahawa
RAKYAT Didahulukan tetapi bukan KRONI Didahulukan.

* Wong Chun Yuan adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pahang

Leave a Reply

Your email address will not be published.