Oleh: NAZLI IBRAHIM
SEPANG, 17 JAN: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan semua Pegawai Daerah mempercepatkan proses permohonan tanah dan mengurangkan birokrasi bagi memastikan peneroka tanah kerajaan mendapat hak mereka.
Katanya menjadi agenda Kerajaan Negeri untuk memastikan tanah diteroka sekian lama diberikan kepada pemilik yang berhak.
“Mereka sebenarnya tidak perlu mengemis dan meminta-minta, kalau kita berpegang kepada prinsip ini kita boleh selesaikan banyak masalah di Selangor khususnya melibatkan pemilikan tanah ini.
“Tidak perlu melalui birokrasi melampau, dipercepatkan proses sebab mereka dah tunggu lama. Ada diantara mereka dah meninggal,” kata Mohamed Azmin.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah di Masjid Al-Mustaqim, Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda di sini, hari ini.
Kata Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh memastikan pengagihan dan pemberian hak milik tanah ini adil kepada rakyat yang meneroka tanah kerajaan.
Ini termasuk dengan mengenakan premium yang nominal berbanding premium semasa di sesetengah lokasi yang mampu mencecah RM1 juta.
Terdahulu, pada majlis penyerahan hak milik tanah itu, seramai lapan penduduk Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda yang merupakan peneroka tanah kerajaan lebih 40 tahun lalu menerima hak milik tanah masing-masing yang disampaikan Mohamed Azmin.
Setiap penerima dikenakan premium nominal sebanyak RM1,000 sahaja bagi tanah yang diberi hak milik berbanding nilai premium semasa yang hampir mencecah RM1 juta ekoran lokasi kampung terbabit bersebelahan Putrajaya dan Bandar Baru Bangi yang pesat membangun.
EZY