KLANG, 31 JAN: Hari Bersama Pelanggan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang diadakan perkarangan Pasar Besar Meru mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz, berkata program selama tiga jam bermula 9 pagi itu memberi peluang kepada warga Klang mengemukakan pelbagai permasalahan dan cadangan berkaitan isu perbandaran.
Katanya, menerusi program itu orang ramai berpeluang memberi maklum balas, aduan dan respon kepada mana-mana jabatan berkenaan selain mengetahui perkembangan terkini perancangan Majlis bagi tahun 2016.
“Program ini akan diteruskan pada Jumaat (minggu terakhir) setiap bulan dan Majlis komited dalam menangani isu dan permasalahan yang dikemukakan penduduk.
“Malah komitmen yang ditunjukkan oleh Yang Di Pertua MPK,Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Setiausaha, Adi Faizal Ahmad Tarmizi yang turut serta dalam program ini mendapat respon positif daripada komuniti di sini”katanya.
Norfiza berkata,Hari Bertemu Pelanggan merupakan inisiatif MPK untuk mendekati dan berinteraksi dengan pelanggan serta menyalurkan maklumat tepat mengenai isu perbandaran dan aktiviti-aktiviti Majlis yang boleh dikongsi bersama warga Klang.
-nR-