OLEH : ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 22 FEB : Golongan belia perlu diberi peluang dan insentif lebih menarik bagi mendepani persaingan dengan tenaga kerja dari luar untuk mendapatkan pekerjaan.
Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim, berkata inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan itu diperlukan bagi menarik minat mereka mengisi sebarang pekerjaan meskipun berbeza latar pendidikan.
“Kalau ada kaedah insentif terhadap peluang pekerjaan tersebut, saya percaya golongan belia bersedia mengisi kekosongan itu.
“Isunya kini, ramai tidak terlibat dalam kerjaya berlainan daripada pendidikan mereka disebabkan faktor kebajikan, latihan dan peluang kerjaya.
“Jadi keutamaannya, sistem dan aliran itu perlu ditambah baik,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.
Beliau berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya golongan belia terlalu memilih pekerjaan sekaligus membuka ruang kepada warga asing bekerja di negara ini adalah tidak relevan.
Bukan menggambarkan realiti sebenar, katanya masih ramai rakyat negara ini yang memilih untuk bekerja di negara luar kerana imbuhan lebih besar walaupun bekerja dalam sektor kemahiran 3D (kotor, sukar dan merbahaya).
“Dakwaan itu perlu dipastikan kerana dalam konteks untuk tangani kemelut ekonomi yang membebankan kini, masih ada golongan belia yang bekerja di luar bidang kepakaran mereka.
“Sebab itulah, pemerkasaan dan tumpuan untuk bantu golongan ini perlu dilaksanakan dan bukan sekadar menambah masuk tenaga kerja luar,” katanya lagi.
Pada masa sama beliau berkata golongan belia pula disarankan untuk lebih berdaya saing dengan menyertai pelbagai program keusahawanan dan kerjaya dan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata.
EZY