BANTING 20 FEB : Sikap segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab dan mengabaikan kebersihan dikesali kerana tindakan mereka mengundang permasalahan pencemaran kualiti alam sekitar.
Pegawai Persekitaran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Norain Mohamed, berkata MDKL berusaha memastikan isu permasalahan sampah haram dapat dibendung dan dikurangkan.
Katanya, sikap dan perbuatan mereka perlu dibanteras dan dikenakan hukuman berat bagi memastikan persekitaran dan kualiti alam sekitar tterpelihara.
Beliau berkata ekoran itu operasi bersepadu pembersihan sampah haram dijalankan MDKL bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah Tanah Kuala Langat (PDTKL) bagi membersihkan sampah haram di bawah jambatan Banting.
Seramai 47 kakitangan dan pegawai daripada MDKL, PDTKL dan juga JKR Kuala Langat menjalankan kerja pembersihan sampah haram melibatkan enam lori dan dua jengkaut dari MDKL dan JKR,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata kerjasama erat antara jabatan kerajaan dan swasta diperlukan bagi memastikan kebersihan dan kelestarian tempat dikecapi penduduk.
Penolong Pegawai Penguatkuasa MDKL, Zulhilmi Senawi, berkata bagi Januari hingga Februari 2016, sebanyak sepuluh tangkapan dibuat dengan lapan kes merupakan notis kesalahan dan dua sitaan dikenakan terhadap mereka yang membuang sampah haram.
Dua lori disita Penguatkuasa MDKL pada 6 Januari lalu di Jalan Kampung Lombong, Bandar Saujana Putra dan sebuah lagi pada 1 Februari lalu di bahu Jalan Perepat, Telok Panglima Garang.
Kesemua tangkapan dan sitaan ini dikenakan di bawah UUK 4 / Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007.
EZY