Oleh: NAZLI IBRAHIM
SUNGAI BULOH, 9 FEB: Jarak beribu batu tidak menghalang Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk bersolidariti bersama rakyat di Himpunan 365 #BebaskanAnwar melalui lintas langsung.
Beliau yang menyampaikan mesej melalui lintas langsung dari Masjidil Haram melahirkan rasa bersyukur kerana diberi kesempatan mendoakan supaya Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara ketika menunaikan ibadah Umrah di Mekah.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat hadir sebab saya sedang mengerjakan Umrah ketika ini.
“Saya juga bersyukur diberi kesempatan mendoakan kebebasan dan kesejahteraan Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan keluarganya semoga mereka sentiasa dalam lindungan Allah,” kata Mohamed Azmin.
Mohamed Azmin turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melupakan pengorbanan Anwar tidak kira berada di mana sama ada di dalam mahupun di luar negara.
“Marilah kita sama-sama memperbaharui ikrar kita untuk sama-sama menjulang obor perjuangan membebaskan Datuk Seri Anwar dari penjara dan membebaskan negara dari cengkaman pemerintah zalim,” kata Mohamed Azmin dalam lintas langsung video berdurasi kira-kira lima minit itu.
Mohamed Azmin dan isterinya, Datin Seri Shamshida Taharin kini berada di Mekah sejak minggu lalu bagi menunaikan ibadah Umrah.
LIHAT VIDEO MOHAMED AZMIN DARI MEKAH DI SINI
EZY