Categories
SELANGOR

Red Giants lega pemain pulih cedera berdepan Ceres FC

SHAH ALAM 22 FEB: Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan lega selepas beberapa tonggak utama The Red Giants pulih daripada kecederaan menjelang perlawanan pertama Piala AFC berdepan Ceres FC di Stadium Panaad, Filipina, esok.

Tonggak termasuk Patrick Ronaldinho dan Nazmi Faiz Mansor yang sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan sah bersama pasukan ke Filipina, semalam.

ZAINAL RED GIANTSBagaimanapun, Zainal tetap kehilangan khidmat wira mereka pada final Piala Malaysia musim lalu, Ahmad Hazwan Bakri, yang masih dibelenggu kecederaan bersama Fittri Shazwan Raduwan.

“Kecederaan Patrick tidak begitu serius. Memang masalah kecederaan membimbangkan saya memandangkan empat atau lima pemain berada dalam senarai kecederaan. Kalau boleh, saya tidak mahu jumlah itu bertambah.

“Dua atau tiga pemain yang sebelum ini dalam senarai kecederaan sudah beransur pulih dan kita ada masa lagi sebelum bertemu Ceres,” kata Zainal dipetik BH Online.

Zainala berharap pemain lain dalam keadaan baik kerana ini perlawanan peringkat antarabangsa.

“Hanya Ahmad Hazwan dan Fittri Shazwan sah tidak ke Filipina kerana belum pulih sepenuhnya,” kata Zainal.

Selangor layak ke Piala AFC 2016 selepas dinobatkan sebagai naib juara Liga Super musim lalu apabila Pahang dipotong enam mata oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berikutan isu pampasan dan gaji bekas pemain import dari Maghribi, Mohamed Borji.

Selangor diundi dalam Kumpulan E bersama Ceres, Tampines Rovers (Singapura) dan Sheikh Jamal Dhanmondi (Bangladesh).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.