LARKIN 14 FEB: Pasukan Red Giants berpuas hati berjaya memperolehi satu mata penting ketika bertemu pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan sulung mereka.
Pengurus Selangor, Amirudin Shari, berkata keputusan seri itu adalah yang terbaik kerana mereka menentang salah satu pasukan terbaik Asia dan Malaysia ketika ini.
“Untuk liga kita tidak melepaskan mana-mana mata dan itu adalah permulaan baik untuk Selangor kerana bermain di Stadium Larkin dengan menentang Juara Liga Super 2015, Juara AFC dan Juara Piala FA 2015.
“Saya gembira dengan keputusan ini namun sedikit terkilan kerana tidak mampu membawa Piala Sumbangsih ke Selangor. Diharap Pasukan Selangor bangkit untuk perlawanan seterusnya,” kata Amirudin.
Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan, berkata beliau berpuas hati dengan persembahan pemain Selangor apabila menjalankan tugas dengan baik mengekang kemaraan JDT.
“Bagi saya penting sekali adalah satu mata di Larkin, bukan mudah kutip mata di Larkin.
“Pemain menjalankan tugas dengan baik, memang hasrat kami inginkan Piala Sumbangsih namun nasib tidak menyebelahi kami.
Zainal berkata disiplin pada separuh masa pertama kurang baik kerana pemain memberi ruang dan keyakinan tinggi pada pihak lawan sehinggakan Selangor hanya mampu bertahan.
“Pemain import baru mereka belum menyesuaikan diri, tidak banyak peluang mereka ada dan diharapkan mereka membuktikan sesuatu pada perlawanan di Ipoh Perak pada Selasa ini,” katanya.
EZY