Oleh: AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 17 FEB: Selangor mencatatkan peningkatan jumlah penagih dadah seramai 3,085 orang pada 2015 berbanding 2,112 orang tahun sebelumnya.
Peningkatan sebanyak 973 orang itu membabitkan 2,933 penagih lelaki dan 152 penagih wanita.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Izhar Abu Talib, berkata perkembangan itu membimbangkan ekoran melibatkan golongan belia yang menjadi aset penting kepada pembangunan negara.
“Pada 2015, didapati seramai 2,888 orang penagih adalah dalam lingkungan umur 13 hingga 49 tahun.
“Manakala seramai 197 adalah dalam lingkungan umur 50 tahun ke atas,” katanya ketika melakukan lawatan rasmi di pejabat Setiuasaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, hari ini.
Katanya, sebanyak 15 kawasan berisiko tinggi di Selangor sudah dikenalpasti, antaranya Petaling, Serdang, Klang, Pandamaran, Pandan Indah, Hulu Kelang dan Ampang.
Selain itu, ia turut membabitkan Gombak, Selayang, Rawang, Bangi, Kajang, Semenyih, Batu 9 Cheras dan Sungai Besar.
Izhar berkata untuk tahun ini, AADK akan menggerakkan usaha memerangi dadah secara habis-habisan dengan mengklasifikasi beberapa kawasan berisiko tinggi kepada umum.
“Kita juga akan melaksanakan program secara berfokus dengan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi termasuk kawasan sekolah, institusi pendidikan dan komuniti,” katanya.
-AA-