Categories
SELANGOR

Smart Sewa: Penyewa dapat semula bayaran sewa untuk beli rumah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 FEB: Masalah dihadapi golongan tidak mampu membeli kediaman sendiri ekoran kesulitan menyediakan wang pendahuluan bakal terjawab apabila Kerajaan Selangor melancarkan Skim Smart Sewa.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata skim terbabit membolehkan wang sewa rumah dibayar penyewa dikembalikan semula sekaligus membolehkan pihak terlibat menggunakan wang terbabit sebagai wang pendahuluan membeli rumah kediaman impian.

ISKANDAR SAMAD“Cara baru ini, mereka sewa rumah milik Kerajaan Negeri dengan kontrak dalam tempoh tertentu, tiga atau lima tahun dan kemudiannya sebahagian sewa itu dipulangkan semula setelah tamat kontrak.

“Sebagai contoh, jika sewa RM500 atau RM700, mereka dapat semula sekitar RM150 atau mungkin RM300 dan didarab dengan berapa bulan tempoh sewa, dengan duit ini mereka boleh gunakan untuk pendahuluan beli rumah,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Bagaimanapun jelas Iskandar, ketika ini Kerajaan Negeri sedang mengkaji jumlah bayaran sewaan, tempoh kontrak dan peratus jumlah sewajarnya untuk dikembalikan.

“Kerajaan Negeri pada masa ini terus membeli unit-unit rumah mampu milik untuk disewakan kepada golongan sasaran ini,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.