Categories
SELANGOR

Tiada keracunan di Sungai Selangor

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 FEB: Isu keracunan didakwa berlaku di Sungai Selangor menyebabkan pelbagai jenis ikan mati adalah tidak benar dan ia sengaja diputar belitkan pihak tertentu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal pengguna, Elizabeth Wong, berkata perkara terbabit tidak timbul kerana ia tidak pernah berlaku seperti mana dilaporkan media awal Februari ini.

selangor1Katanya, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan tindakan segera dan menyelesaikannya pada akhir Januari lalu apabila mendapat laporan di media sosial bahawa individu tertentu menggunakan bahan beracun untuk tujuan itu namun siasatan mendapati ia tidak berlaku.

“Itu bukan racun, siapa cakap racun…kita menjalankan pemantauan dan menguji sampel air yang mana keputusannya tiada racun.

“Hasil ujian dilakukan di logi pembersihan air di Sungai Selangor juga membuktikan tiada apa-apa berlaku,” katanya kepada SelangorKini di sini.

Beliau berkata, hasil ujian mendapati kematian pelbagai jenis ikan berlaku berikutan kadar oksijen rendah di kawasan sungai berkenaan.

Sebaliknya apa yang menimbulkan persoalan, katanya, adalah ujian sampel air diperoleh LUAS di logi rawatan Indah Water Konsortium (IWK) di Bukit Beruntung menghasilkan keputusan meragukan dan ia diserahkan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) untuk siasatan susulan kerana agensi itu di bawah bidang kuasanya.

“Tiada isu ammonia atau bahan beracun manakala logi pembersihan air juga tidak ditutup.

“Saya kira orang ramai perlu mendapat penjelasan menerusi hasil ujian yang betul sebelum merujuk kepada kenyataan media yang meragukan,” katanya menempelak pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan tanpa fakta sebenar.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan laporan media sosial yang memberi gambaran perkara itu baharu berlaku.

“Perkara ini sudah diselesaikan pada akhir Januari dan mereka melihat dalam media sosial seperti ia baharu berlaku.

“Pihak yang suka mereka-reka cerita, kita harap mereka boleh hentikanlah,” katanya.

Baru-baru ini dikatakan berlaku bukan setakat bau busuk di kawasan Sungai Selangor tetapi pelbagai jenis ikan terdampar mati didakwa diracun segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

Ia menimbulkam kemarahan penduduk yang juga nelayan darat yang didakwa hilang punca pencarian manakala kaki pancing terpaksa pulang dengan tangan kosong.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.