OLEH : DATUK MAHFUZ OMAR
Satu yang sangat saya terharu ialah satu Kenyataan Media Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jeriji besi penjara Sungai Buluh yang mendukung penggembelingan kekuatan merentasi ideologi politik bagi tujuan menggerak usaha menuntut Najib mengundurkan diri daripada jawatan PM.
Kenyataan DSAI itu memperlihatkan betapa berjiwa besarnya beliau menghulurkan tangan kepada orang seperti Tun Mahathir yang pernah menyingkir, memecat dan menganiayainya dalam konspirasi politik menjatuhkan beliau sebagai TPM dan kemudiannya Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
Kesediaannya sebagai lambang kesatuan hati bersama rakyat dan rakan-rakan hanya semata-mata demi Negara dan rakyat yang tercinta yang memerlukan perubahan, penambahbaikan dan pembelaan untuk suatu kehidupan yang damai dan sejahtera.
Kesediaan beliau itu adalah suatu pengorbanan yang sangat tinggi daripada dalam penjara terus menggerakkan perjuangan yang beliau perjuangkan selama ini untuk reformasi institusi yang dicengkam oleh salahguna kuasa PM di tangan Najib.
Pengorbanan beliau ini seharusnya disambut oleh semua peringkat rakyat Malaysia dengan penuh amanah dan bertanggunjawab mendesak Najib berundur daripada tampuk kuasa PM dan menggerakkan reformasi institusi bagi menegakkan keadilan untuk semua.
Sebagai rakyat Malaysia, saya mengajak seluruh masyarakat mendoakan agar kesihatan, kesabaran, kekuatan dan kekentalan serta keimanan DSAI untuk tetap istiqomah dengan perjuangan bagi memertabatkan keadilan untuk rakyat Malaysia.
Kita mendoakan agar beliau segera bebas sekaligus bersama dengan pengunduran Najib dan reformasi Negara. Selamat berjuang Bang Anwar. Moga Allah melindungi, merahmati dan memberkati Bang Anwar.
#LawanTetapLawan
#UndurNajib
#SelamatkanMalaysia.
DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
4 Mac 2016/24 Jamadilawal 1437H