Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 15 MAC: Orang ramai dinasihatkan meminum air kosong dalam kadar banyak tanpa menunggu rasa dahaga dan tahap aktiviti fizikal yang dilakukan.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata pengambilan minuman beralkohol dan kafein juga perlu dielakkan kerana ia menyebabkan badan lebih cepat terhidrasi.
Katanya, minuman isotonik pula digalakkan bagi menggantikan garam dan mineral yang hilang akibat berpeluh.
“Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak, kurangkan melakukan aktiviti di luar dan dapatkan rehat yang secukupnya, sentiasa menggunakan kipas angin dan penghawa dingin serta mandi.
“Jika terpaksa melakukan aktiviti di luar, pastikan memakai pakaian bersesuaian, tidak ketat dan berwarna cerah selain menggunakan topi dan payung bagi mengurangkan risiko,” katanya dalam satu kenyataan.
Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca panas ekstrem sehingga penghujung Mac ini ekoran fenomena El-Nino.
Ketua Pengarahnya, Datuk Che Gayah Ismail dalam laporan media berkata suhu dijangka berkurangan dan cuaca kembali lembab menjelang peralihan monsun sekitar April nanti.
Beliau turut menafikan dakwaan kononnya fenomena berlaku disebabkan ekuinoks.
EZY