Categories
SELANGOR

Cub Prix AAM: Zaqhwan ungguli ujian masa CP130

OLEH : HAFIZAN TAIB

SERDANG, 13 MAC: Pelumba Honda, Md Zaqhwan Zaidi, mempamerkan tunggangan kemas untuk mengungguli sesi ujian masa sepusingan kategori CP130 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Beliau mencatat masa terpantas 48.979s mengatasi pendatang baru dari pasukan Petronas Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin (49.059s) dan pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Md Hafiz Nor Azman (49.289s).

“Terima kasih kepada pasukan kerana tidak henti melakukan persiapan sebaik musim lalu berakhir.

“Ternyata segala kerja keras banyak membantu saya untuk kembali ke prestasi terbaik minggu ini dan berharap berterusan pada perlumbaan sebenar,” kata pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu.

cuprix selangor 2Juara keseluruhan musim 2014 itu bagaimanapun tidak diberi laluan mudah apabila dicabar hebat Kasma yang mencipta kejutan pada sesi latihan pertama di sebelah pagi dengan catatan masa terpantas 49.505s.

Biarpun gagal mengatasi catatan terbaik litar dicipta Hafiz (48.322s) pada musim lalu tetapi Zaqhwan gembira kerana catatan masa dibuat itu di atas litar dengan cuaca begitu panas dan suhu mencecah sehingga ke 40 darjah.

“Cengkaman tayar tidak begitu baik dengan suhu panas seperti ini ditambah dengan faktor permukaan jalan apabila saya sudah mencuba semaksimum mungkin untuk mencatat masa lebih baik namun tidak berjaya.

“Jika mencuba dengan lebih laju, tidak mustahil akan terjatuh,” katanya.

Dalam kategori CP115 pula, pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang, Tengku Amirul Haffirudin mencatat masa terpantas sepusingan dengan 49.661s mengatasi Azroy Hakeem Anuar (Givi Honda Yuzy Racing) yang mencatat 49.922s dan pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing, Harith Farhan Baharin (49.999s).

Amirul, naib juara musim lalu, nyata lega dengan catatan masa dirakam mengatasi Azroy dengan kelebihan 0.261s untuk bermula di barisan hadapan dalam perlumbaan sebenar nanti.

Dalam kategori Wira, Mohd Shafiq Izzariq menceriakan pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing dengan catatan masa terpantas 51.012s.

Dua lagi pelumba dari pasukan sama, Saiful Azhary Muhamad dan Md Anuar Ibrahim Pawi mencatat 51.986s dan 52.011s untuk masa keempat dan kelima terbaik untuk berada dalam kelompok lima pelumba terpantas dalam kategori berkenaan.

Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport) mencatat masa kedua terbaik dengan 51.170s diikuti catatan masa ketiga terbaik dibuat Mohd Afizi Supaat (Espada William Racing) iaitu 51.569s.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.