Categories
SELANGOR

Cub Prix: Kasma Daniel cipta kejutan juara CP130

OLEH : HAFIZAN TAIB

SERDANG, 14 MAC: Pelumba muda Yamaha, Kasma Daniel Kasmayudin, mencipta kejutan apabila muncul juara dalam saingan kelas CP130 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, semalam.

Juara CP115 musim lalu yang berpindah ke kategori perdana kali ini memberikan cabaran hebat mengenepikan pelumba lebih senior dalam perlumbaan 18 pusingan itu bagi meraih kemenangan pertama.

Kasma in actionBeliau meninggalkan rakan sepasukan dari Petronas Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham untuk tempat kedua dan Md Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing), ketiga.

“Strategi pasukan menjadi dan saya gembira dengan kemenangan ini namun terkejut kerana berjaya menyaingi pelumba lebih senior.

“Jentera juga berfungsi baik membantu kemenangan ini dan momentum sama harap berterusan pusingan seterusnya,” kata pelumba 16 tahun itu.

Kasma Daniel berkata, kemenangan diraih tidak melekakan sebaliknya lebih bersedia kerana pasukan lain tentunya bakal mencabar hebat untuk kedudukan selesa dalam pungutan mata.

Bagi Fazli pula, kejayaan menduduki tempat kedua di sini memberi kelebihan dalam persiapan menghadapi perlumbaan di Batu Kawan, Pulau Pinang, April ini.

“Cuaca panas menghadirkan lebih cabaran kepada saya dan semua pelumba tetapi saya lebih bersedia selepas ini.

“Terima kasih kepada pasukan dengan kejayaan ini, saya agak ketinggalan di peringkat awal tetapi mengekalkan tunggangan konsisten mengejar pelumba di depan,” katanya.

Sementara itu, pelumba pilihan, Zaqhwan yang mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa, dicabar sengit Abd Muhaimin Roslan dan Mohd Izzat Zaidi di awal perlumbaan, menyatakan beberapa insiden berlaku diawal perlumbaan menjejaskan peluang mendahului perlumbaan.

“Jika diikutkan memang tidak berpuas hati kerana saya beraksi di tempat sendiri tetapi tempat ketiga satu permulaan baik untuk pusingan selanjutnya.

“Saya lebih bersedia dengan aksi terbaik selepas ini selain berusaha mencabar kejuaraan,” kata juara 2014 menunggang jentera baru musim ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.