Categories
SELANGOR

Guna air secara berhemah elak pembaziran

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SELAYANG, 28 MAC : Amalan penggunaan air pada kadar minimum perlu diterapkan di pusat ibadat termasuk di masjid dan surau seluruh negeri, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pengurusan pusat ibadat disaran lebih peka dalam memastikan kesedaran penggunaan air berhemah dilaksanakan untuk memastikan amalan pembaziran air dihentikan.

AIR SELANGOR“Kita tidak boleh nafikan ketika mengambil wudhu, ada jemaah ambil wudhu seperti mandi, sedangkan wudhu itu ada syarat ditetapkan.

“Sebab itu kalau kita lihat di masjid moden di negara luar, paip untuk ambil wudhu juga dikawal supaya tidak berlaku pembaziran.

“Diharap pengurusan masjid dan surau juga ambil perhatian supaya penggunaan air dapat digunakan secara bijaksana bagi memenuhi keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kempen Jom Jimat Air di Pangsapuri Julia, semalam.

Dalam isu yang sama Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri berdepan cabaran besar bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat dengan merujuk statistik penggunaan air di seluruh negeri.

“Cabaran kita apabila rakyat menggunakan air terlalu banyak bukan hanya untuk mandi tetapi penggunaan pam tandas.

“Berdasarkan angka dikeluarkan, rakyat Selangor menggunakan air sebanyak 235 liter seorang sehari berbanding Singapura, 180 liter seorang sehari. Kita paling tinggi,” katanya.

Justeru beliau berharap agar masyarakat lebih bertangungjawab menggunakan pemberian air percuma demi manfaat jangka panjang bersama.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.