Categories
SELANGOR

Masjid Selangor hidup 18 jam sehari hasil dokongan semua pihak

OLEH : NAZLI IBRAHIM

KLANG, 8 MAC: Berbanding dahulu masjid di Selangor meriah pada hari dan masa tertentu tetapi berbeza kini apabila kebanyakan masjid di negeri itu berjaya diimarahkan di sepanjang hari dengan pelbagai program manfaat.

Antaranya, Masjid Negeri Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang hampir setiap hari programnya berjalan sehingga 18 jam sehari.

Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam, Muhammad Farhan Wijaya, berkataperubahan itu berlaku apabila institusi masjid mendapat dokongan kuat semua pihak seperti Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat.

Masjid Shah Alam“Suasana pengimarahan masjid dulu dan sekarang berbeza dengan adanya semangat baru dan sikap profesional pegawai agama daripada semasa ke semasa menambah kualiti di sudut pengurusan ini termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merancang dengan baik, bersistematik dan dengan adanya indeks prestasi utama (KPI) yang baru.

“Alhamdullilah, ini yang kita nak di Selangor supaya masjid hidup, contohnya Masjid Negeri, sehari lebih 18 jam kita susun pelbagai program daripada pelbagai sudut seperti akidah, fiqh, hadis, Al-Quran sendiri dan sebagainya kerana cabang ilmu Islam itu sendiri luas,” kata Muhammad Farhan.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam Masjid Seluruh Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Katanya, selain ilmu keagamaan, Masjid Negeri turut mengadakan program ilmuan lain seperti teknologi maklumat (IT) dan program motivasi yang menarik minat generasi muda datang ke masjid dan sekaligus mampu melahirkan modal insan berkualiti.

Selain itu, tambah beliau, program dan aktiviti juga perlu diselaraskan dengan keadaan semasa dan bersesuaian dengan keadaan masyarakat setempat.

Sementara itu, Imam Masjid Al-Huda, Paya Jaras, Othman Ab Kadir pula berkata, pihak beliau sentiasa mendapat kerjasama baik daripada Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

“Bila saya maklumkan masjid mohon sesuatu bantuan untuk program tertentu, biasanya tidak menghampakan.

“Baik ADN mahupun Kerajaan Negeri berusaha membantu pengurusan masjid untuk kebaikan masyarkat Islam,” kata Othman.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.