OLEH : AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 25 MAC: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan defendan termasuk Ketua Polis Negara untuk membayar ganti rugi kepada keluarga Aminulrasyid Amzah.
Dalam satu kenyataan beliau berkata, keputusan itu sangat jelas serta menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Allahyarham.
“Ia merupakan satu kemenangan untuk keadilan serta akauntabiliti. Saya gembira dan lega kerana nama baik dan reputasi Aminulrasyid dan keluarganya telah ditebus.
“Yang pentingnya, dalam penjelasan dakwaan dibuat bekas Ketua Polis Selangor, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa Aminulrasyid cuba melanggar polis untuk melarikan diri adalah tidak berasas.
“Ini adalah kritikan serius terhadap Ketua Polis Negara dalam menunaikan kewajipannya ketika beliau bertanggungjawab selaku Ketua Pegawai Polis Selangor (ketika itu),” katanya.
Mahkamah mengumumkan ganti rugi RM414,800 termasuk RM100,000 bagi kemungkiran awam yang dilakukan oleh Khalid yang ketika itu Ketua Polis Selangor selain memerintahkan defendan membayar kos RM50,000.
Kakak Allahyarham Nor Azura, 46, memfailkan saman pada 17 April 2013 atas kapasiti sebagai pentadbir harta Aminulrasyid, bersama ibunya, Norsiah Mohamad, 67, masing-masing sebagai plaintif pertama dan kedua untuk menuntut ganti rugi atas alasan kecuaian Koperal Jenain Subi, 54, dan tiga yang lain.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam penghakimannya berkata, pihak plaintif berjaya membuktikan bahawa Jenain merupakan anggota polis yang melepaskan tembakan ke arah kereta dinaiki Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di Shah Alam pada pagi 26 April 2010.
Sebelum itu, pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepaskan dan membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid.
Keluarga Aminulrasyid diwakili peguam N. Surendran dan Latheefa Koya, manakala peguam Zulkifly Omar mewakili Jenain dan Peguam Persekutuan Norhasmanita Abdul Manap mewakili defendan-defendan lain.
-nR-