OLEH : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 3 MAC: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melahirkan rasa kecewa dengan pengumuman Kumpulan Petronas yang bakal menghentikan perkhidmatan hampir 1,000 pekerjanya.
Setiausaha Agung MTUC, N Gopal Kishnam menyifatkan pekerja syarikat minyak dan gas itu menjadi ‘kambing hitam’ ekoran kelembapan ekonomi ketika ini.
Katanya, syarikat itu sepatutnya memikirkan strategi lain antaranya pemotongan gaji pekerja bukannya mengambil tindakan membuang.
“Sebagai sebuah syarikat global Petronas perlu menimbang semula keputusan untuk mengurangkan pekerjanya, pekerja syarikat ini tidak sepatutnya dijadikan kambing hitam ekoran komitmen Petronas terhadap kerajaan.
“Syarikat itu perlu mengambil kira perbelanjaan operasi dan pengurusan yang lain kerana negara memerlukan pekerja berpengalaman dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.
Gopal berkata MTUC mengingatkan kepada majikan serta organisasi lain untuk tidak mengambil jalan keluar yang mudah ekoran kelembapan ekonomi semasa dengan mengurangkan pekerja mereka.
“MTUC tidak mahu majikan menggunakan senario semasa sebagai alasan untuk membebankan pekerja,” katanya.
Baru-baru ini, dalam usaha untuk terus berdaya saing ketika harga minyak mentah terus menjunam, Petronas mengumumkan untuk menghentikan perkhidmatan hampir 1,000 pekerja bawah rancangan penstrukturan semula.
Petronas berkata rancangan penstrukturan semula itu dibuat bagi menempatkan semula pekerja yang terbabit serta memulakan proses pemisahan bagi pekerja seperti yang diperlukan dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang.
Dalam laporan tahunan 2014, Petronas menggaji sejumlah 50,949 pekerja. Penyusunan semula itu dibuat hanya beberapa bulan selepas Shell Malaysia mengumumkan langkah pengurangan pekerjanya.
Pada 30 September lalu, Shell mengumumkan bahawa ia akan menamatkan perkhidmatan 1,300 pekerja daripada jumlah 6,500 yang berkhidmat dengan syarikat itu.
EZY