OLEH : SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 19 MAC: Penerimaan masyarakat terhadap lagu nasyid masih mendapat sambutan di pasaran muzik tempatan hari dan diterima secara meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Ketua Juri Festival Nasyid Peringkat Selangor, Mohammad Razin Che Mud, berkata walaupun nasyid dilihat lama dalam industri muzik tempatan namun lagu tersebut mula mendapat perhatian ramai khususnya generasi muda.
“Kalau dilihat aktiviti underground, program nasyid ini masih bergerak rancak cuma ianya kurang mendapat liputan daripada pihak media, sebab itu masyarakat menganggap nasyid semakin pudar dalam seni hiburan.
“Pertandingan nasyid masih banyak dijalankan di peringkat masjid, sekolah, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan pihak NGO kerana kalau kita lihat artis nasyid kita sering juga dijemput membuat persembahan di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Festival Nasyid Peringkat Negeri Selangor 2016 di SACC Mall, di sini, hari ini.
Katanya, Festival Nasyid adalah salah pentas terbaik apabila diadakan secara terbuka untuk masyarakat melihat sendiri perkembangan nasyid.
“Juara bagi pertandingan hari ini kita asah untuk mewakili Selangor ke Festival Nasyid Kebangsaan (FNK) yang berlangsung pada pertengahan tahun ini di Melaka.
“Antara ciri-ciri juara yang kita cari adalah kumpulan yang mempunyai pakej lengkap untuk kita mengekalkan kejuaraan di peringkat kebangsaan sebab sebelum ini Selangor pernah menjuarai kategori moden dan naib johan dalam kategori tradisi,” katanya.
Selain itu, katanya majoriti peserta nasyid pada hari ini adalah golongan anak muda yang memberikan pelbagai inovasi persembahan baru dengan menggunakan elemen lakonan atas pentas.
EZY