OLEH NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 10 MAC: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor disaran mempermudahkan proses permohonan baru lesen perniagaan sebagai galakan kepada mereka yang berminat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata selain membantu rakyat berhadapan suasana ekonomi tidak menentu, langkah itu turut merancakkan ekonomi Selangor secara amnya.
“PBT harus melihat dalam suasana ekonomi hari ini bagaimana pengeluaran lesen perniagaan ini dapat dipermudahkan jika mematuhi peraturan dan proses.
“Jangan mempersulitkan kerana kita harus memberi peluang rakyat Selangor untuk berniaga secara teratur dan tersusun,” katanya pada Majlis Penganugerahan Anugerah Hijau Zon Bersih Mini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2015 di Hotel Concorde di sini, malam tadi.
Katanya, sementara PBT mempermudahkan urusan mendapatkan lesen perniagaan, Kerajaan Negeri memainkan peranan dengan menyediakan skim pinjaman tanpa faedah, HIJRAH bernilai RM5,000 hingga RM50,000 kepada peniaga yang mahu mengembangkan perniagaan.
Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, PBT bukan sahaja membangunkan bandar secara fizikal, tetapi turut bertanggungjawab membangunkan masyarakat yang mendiami kawasan terbabit.
“Tidak mungkin kita boleh membangunkan sebuah bandar tanpa mengambil kira keperluan dan tuntutan komuniti yang meletakkan harapan tinggi kepada Kerajaan Negeri dan PBT.
“Keperluan mereka harus diambil kira dengan memandang masalah yang dihadapi hari ini berbeza dengan masalah beberapa tahun lalu,” katanya.
-AA-