OLEH : AFIX REDZUAN
KUALA TERENGGANU, 11 MAC: Selangor gagal melebarkan jurang selaku pendahulu Liga Super selepas dikejutkan Terengganu 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Meskipun cuba bangkit selepas ketinggalan pada separuh masa pertama, namun kealpaan benteng pertahanan pada 10 minit akhir permainan membawa padah hingga mengakibatkan Terengganu menambah dua jaringan
Terengganu bermula garang dengan jaringan pembukaan di penghujung separuh masa pertama menerusi Issey Farran Nakajima yang berjaya melakukan rembatan lencong kaki kiri bagi menewaskan Mohd KhairulAzhan.
R Gopinathan menceriakan kem The Red Giants dengan gol penyamaan selepas dua minit separuh masa kedua bersambung menerusi rembatan jarak jauh yang akhirnya memerangkap penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Alwee di gawang gol.
Selangor meneruskan asakan ke kubu Terengganu namun penyudah tumpul jentera serangan diketuai Patrick Ronaldinho Wleh gagal menterjemahkannya kepada jaringan gol.
10 minit terakhir perlawanan menjadi mimpi ngeri buat Selangor selepas Terengganu memanfaatkan situasi kelam kabut benteng pertahanan dengan jaringan kedua menerusi Juan Jose Morales pada minit ke-80.
Issey Farran Nakajima meranapkan impian Selangor untuk bangkit dengan gol menerusi tandukan cantik pada minit ke-87 bagi memastikan tiga mata penuh milik Terengganu.
Dengan keputusan ini, Selangor kekal di tangga teratas dengan 10 mata namun beraksi lebih satu perlawanan berbanding pasukan Johor Darul Takzim dan Felda United.
Selangor dijadualkan beraksi menentang Sheikh Jamal dalam aksi Piala AFC pada 15 Mac ini.
EZY