Categories
SELANGOR

Sultan Selangor puji kepimpinan negeri berjaya pacu pelaburan

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 MAC: Keyakinan Selangor mengekalkan pelaburan asing dan tempatan di kedudukan terbaik di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dipuji DYMM Sultan Selangor.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj dalam titahnya, keyakinan itu diletakkan ekoran prinsip ketelusan, bertanggungjawab dan tadbir urus yang cekap dan efisien.

DNS 2016“Selangor perlu terus maju. Amalan tadbir urus mantap, telus dan bertanggungjawab semakin memperkukuhkan keyakinan pelabur terhadap negeri beta.

“Oleh itu, Selangor sentiasa memerlukan pelaburan asing dan domestik untuk terus berdaya saing terutamanya pelaburan dalam bidang bersifat intensif modal dan sektor teknologi tinggi,” titah Baginda Sultan di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13, di sini.

Baginda Sultan mahu Selangor memiliki ciri positif dan mesra pelabur di kalangan masyarakat perniagaan demi merealisasikan hasrat terbabit.

“Pendekatan bersemuka dan berbincang atau ‘engagement’ dilakukan melalui dialog dan perkongsian pandangan bersama diplomat dan komuniti perniagaan.

“Ia bagi menjadikan imej negeri lebih kukuh di persada antarabangsa. Beta percaya keyakinan ini diletakkan kepada Kerajaan Negeri yang mempertahankan prinsip itu,” titah Baginda Sultan.

Berdasarkan laporan Malaysia Investment Development Authority (MIDA), Selangor berjaya mencatatkan kedudukan di tangga kedua dalam pelaburan sektor perkhidmatan dengan nilai pelaburan RM2.36 bilion.

Selangor juga berjaya menduduki tempat ketiga dalam pelaburan sektor pembuatan dengan jumlah pelaburan bernilai RM7.96 bilion.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.