OLEH: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 31 MAC: Tanah rizab kerajaan tidak boleh diberi hak milik, selaras dengan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara.
Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ia hanya boleh diberikan dengan kebenaran pihak berkuasa negeri.
“Dasar Kerajaan Negeri selaras dengan PTGS Bil 4/2015 Garis Panduan Lesen Pendudukan Sementara di Atas Tanah Rizab Kerajaan membenarkan pendudukan
sementara melalui Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di bawah Seksyen 65 Kanun Tanah Negara bagi tanah rizab kerajaan yang bukan pada masa ini digunakan untuk maksud ia dirizabkan.
“Permohonan TOL di bawah tanah rizab hanya dibenarkan untuk tujuan seperti tapak semaian dan jualan, tanaman kontan, pondok pengawal, papan iklan dan tempat meletak kereta.
“TOL untuk tujuan rumah kediaman tidak dibenarkan,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Razaly Hassan sama ada Kerajaan Negeri bercadang memberi milikan tanah untuk dijadikan tapak rumah di bawah rancangan pembesaran kampung.
Yunus berkata, sekirannya tanah dipohon adalah tanah boleh diberi milik untuk tujuan kediaman, ia adalah tertakluk dengan syarat.
“Ini adalah berdasarkan Pekeliling PTGS Bil 6/2011 Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian Negeri Selangor.
“Permohonan berulang pengusaha asal atau sudah menduduki sekurang-kurangnya tiga tahun pada tarikh 1 Januari 2008, maka kelulusan adalah tertakluk kepada kesesuaian zoning yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD),” katanya.
-nR-