OLEH : ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 8 MAC : Tourism Selangor giat mempromosikan produk pelancongan menerusi program Sales Mission 2016 bagi menarik lebih ramai lagi pelancong India ke Selangor.
Usaha itu dipergiatkan melalui program Perniagaan kepada Perniagaan (B2B) dan Kerajaan kepada Kerajaan (G2G) menerusi siri jelajah di beberapa bandar besar India bermula 26 Febuari hingga 3 Mac lalu.
Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Asyikin Mohd Din, berkata misi itu dijalankan bagi tujuan promosi jangka panjang ke arah pertumbuhan pelancongan Selangor.
“Terdapat perancangan bagi beberapa syarikat penerbangan di Malaysia seperti Malindo Air dan Air Asia untuk mewujudkan penerbangan terus dari bandar tersebut ke Malaysia.
“Sesi ini perlu diadakan dengan lebih awal dan sistematik untuk promosi dan kesan jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
India menduduki tangga kelima dalam kedudukan senarai kemasukan pelancong paling ramai ke Selangor dengan jumlah kemasukan 170,912 pelancong bagi 2015.
Jumlah itu dijangka semakin bertambah dengan pelaksanaan program pelancongan dan promosi lain diperkenalkan Kerajaan Negeri.
Antara tempat menarik sentiasa dikunjungi pengunjung luar ialah taman tema, pusat membeli belah, pelancongan MICE, pelancongan sukan dan produk lainnya seperti Sunway Lagoon, Batu Caves, I-City dan Litar F1 Sepang.
EZY