Categories
SELANGOR

Unit Integriti terima 117 aduan, semuanya diambil tindakan

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 MAC: Unit Integriti Kerajaan Negeri menerima 117 aduan integriti membabitkan penjawat awam sehingga 29 Februari lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata semua aduan diterima sudah diambil tindakan termasuk pengesanan dan pengesahan.

AZMIN DNS 2016“Ia juga mendapatkan maklum balas daripada jabatan dan agensi terbabit atau merujuk terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lembaga tatatertib berkenaan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei.

Katanya, daripada jumlah aduan itu, 56 kes adalah kesalahan rasuah dan salah guna kuasa, tuntutan palsu (dua), tipu dan pecah amanah (enam) dan kesalahan pentadbiran (53).

Berhubung kes tatatertib, beliau menjelaskan, sebanyak 10 kes diambil tindakan unit terbabit dan daripada jumlah kes kategori itu terdapat empat kes membabitkan kesalahan tidak hadir bertugas.

DNS 2016“Selainnya masing-masing satu melakukan kerja luar tanpa kebenaran bertulis daripada ketua jabatan, gangguna seksual, penyalahgunaan dadah, tuntutan palsu, pertuduhan jenayah di mahkamah serta kurang cekap dalam melaksanakan tugas.

“Berdasarkan kes tatatertib itu antara tindakan diambil ialah dua dibuang kerja, diberi amaran (satu), ditangguhkan pergerakan gaji (satu), dirujuk kepada kaunseling (satu) serta lima kes masih dalam tindakan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Unit Integriti Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan tadbir urus organisasi dan penginstitusian integriti dilaksanakan secara efisien.

Dalam mencapai hasrat itu, katanya, antara inisiatif diambil selaras dengan fungsi teras unit terbabit ialah mewujudkan hubungan langsung dengan semua unit integriti dalam setiap jabatan dan agensi.

“Ia dengan membuat penerangan mengenai integriti serta dalam masa sama membendung salah laku jenayah serta perlakukan perlanggaran tata kelakuan etika organisasi di kalangan kakitangan masing-masing.

“Mengadakan kursus, seminar, bengkel dan taklimat berhubung tata kelakuan dan salah laku rasuah selain mengedarkan risalah berkaitan kesalahan sama, menandatangani ikrar integrtiti korporat dan mewujudkan insiatif membendungnya,” katanya.

Katanya, unit terbabit juga menyediakan saluran aduan integriti penjawat awam melalui emel, talian telefon, fax, dan surat bagi memudahakan aduan dibuat.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.