OLEH ERMIZI MUHAMAD
KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Laungan “Bebas Rafizi” dan “Daulat Parlimen” bergema di sepanjang perarakan Ahli Parlimen Pembangkang ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pagi ini.
Meskipun dalam cuaca panas, perarakan diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap diteruskan sebagai bantahan kepada penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Wan Azizah dalam kenyataan ringkasnya kepada SelangorKini berkata, perarakan itu juga dibuat bagi menuntut kedaulatan Parlimen dan sistem pentadbiran lebih adil.
“Kita mahu reformasi menyeluruh kepada sistem pentadbiran sekarang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Antara pimpinan tertinggi yang hadir pada perarakan itu termasuklah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Khalid Samad, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Khairuddin Abdullah dan Datuk Zaid Ibrahim.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Rodziah Ismail.
Perarakan hari ini turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar susulan pencabulan polis terhadap penahanan Rafizi di pintu masuk Parlimen baru-baru ini.
Serahan memorandum disampaikan Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul kepada DSP Sumber Infomasi dan Analisis KPN, Rizal Abd Rahman Sidek.
Johari dalam ucapan ringkasnya di hadapan Balai Polis Bukit Aman berkata, KPN disarankan berundur ekoran beberapa siri pencabulan demokrasi di Malaysia ketika ini.
“Kita tiada masalah dengan pihak polis, tetapi kita ada masalah dengan KPN yang sangat bermasalah,” katanya.
-AA-