Categories
SELANGOR

Aktiviti pertanian disyaki antara punca kebakaran Hutan Simpan Kekal Kuala Langat

OLEH: HAFIZAN TAIB

KUALA LANGAT, 15 APR: Pembakaran hutan untuk tujuan pertanian disyaki antara punca berlakunya kebakaran hutan simpan kekal Kuala Langat Selatan, di sini sejak 31 Mac lalu.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Rosli Othman, berkata pencerobohan segelintir individu tidak bertanggungjawab itu sedang dipantau Jabatan Hutan Selangor dan akan dikenakan tindakan tegas bagi mengelakkan lebih banyak kawasan hutan simpan itu dibakar.

Katanya, kebakaran seluas 31 hektar itu jelas menghadirkan masalah, namun beberapa tindakan bersepadu dijalankan pihak berkuasa setakat ini memberikan impak positif.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Rosli Othman“Fenomena EL-Nino menyebabkan berlaku cuaca panas ekstrem yang mana ia akan menyebabkan kebakaran dan jerebu.

“Kebakaran berlaku di kawasan ini memerlukan tindakan bersepadu segera supaya ia dapat dikawal dan hasil tindakan dibuat setakat ini kita optimis ia mampu dikawal dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media semalam.

Beliau berkata, gerakan pemadaman itu sudah dimulakan sejak 1 April lalu dan berterusan hingga ke hari ini membabitkan kerjasama beberapa agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Agensi Penguatkuasa Maritm Malaysia (APMM), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan MOneral dan Geologi (JMG), dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

HUTAN TERBAKAR 2Antara tindakan diambil ialah penggunaan enam jentera berat Excavator bertujuan membina perparitan sementara mengawal kemerebakan kebakaran, penggunaan drone / UAV secara harian bagi tujuan pemantauan udara dan strategik dan pengaktifan dua telaga tiub JMG untuk membekalkan bekalan air bagi pemadaman.

Selain itu, juga dilaksanakan pemadaman secara ‘water bombing’ menggunakan pesawat bombardier APMM pada 10 April iaitu sebanyak dua penerbangan, 47 kali pengeboman menggunakan 282,000 liter air serta pemadaman darat bersepadu.

“Pemantauan berterusan akan dijalankan pihak berkuasa supaya pembakaran masih berlaku di sini dapat dikawal pada kadar maksima selain mengawasi kawasan bagi menghalang sebarang aktiviti tidak diingini dilakukan pihak tertentu.

HUTAN TERBAKAR“Semua pihak perlu memberi kerjasama dengan menghentikannya kerana aktiviti seperti memburu, memancing serta pertanian tanpa kebenaran adalah antara punca berlaku kebakaran ini.

“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak didapati menceroboh kawasan ini tanpa kebenaran,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Langat.

Penguasa Bomba merangkap Komander Operasi, Abu Bakar Abd Kadir berkata, pos kawalan Bomba telah dibuka di kawasan itu sejak 31 Mac lalu hingga hari ini bagi menjalankan tindakan perlu mengatasi masalah berkenaan.

“Pos kawalan ini menempatkan segala kelengkapan, logistik dan selainnya di mana beberapa tindakan telah diambil di sepanjang tempoh beroperasi hingga kini,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.