OLEH : HAFIZAN TAIB
AMPANG, 24 APR: Ampang Jaya Night Run 2016 berjaya menarik penyertaan hampir 3,000 peserta dari pelbagai bangsa dan golongan untuk memeriahkan program larian anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu.
Acara diadakan di Padang Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, di sini, malam tadi turut disertai Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, yang melepaskan peserta dan juga bersama berlari selepas itu.
Turut bersamanya ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Tiew Way Keng; Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain dan yang lain.
Menteri Besar melahirkan rasa bangga dengan penganjuran program itu yang mampu memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat pelbagai bangsa bersesuaian dengan matlamat Kerajaan Negeri.
“Ia anjuran MPAJ yang sulung untuk memberikan kesedaran kepada rakyat khususnya di kawasan ini bahawa sukan dan aktiviti riadah penting bagi menjaga kesihatan masing-masing.
“Kita lihat sambutan cukup baik dengan lebih 2,500 peserta menyertainya,” katanya kepada media selepas menamatkan larian acara berkenaan.
Beliau berkata, diharapkan program seperti itu akan diadakan dan dipertingkatkan pada masa akan datang.
Ampang Jaya Night Run 2016 mempertandingkan tiga acara iaitu dua kilometer (km), lima km dan 10 km untuk disertai kanak-kanak, orang dewasa dan veteran mengikut kategori masing-masing.
EZY