Categories
NASIONAL

Azmin: Adenan perlu tumpu tuntut hak dan keistimewaan rakyat Sarawak

SHAH ALAM 30 APR: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mesti menumpukan usaha menuntut kembali hak dan keistimewaan rakyat Sarawak yang sewajarnya diterima mereka dari Putrajaya.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kenyataan Adenan “bersedia mempertimbang untuk melanjutkan tempoh kehadiran Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang di sini” jika menerima permohonan rasmi amat dikesali.

PILIHANRAYA SARAWAKKatanya ia menunjukkan sikap tidak hormat terang-terangan Adenan terhadap kedudukan Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Saya maklum sekarang ini merupakan musim pilihan raya. Maka dalam politik, seorang ketua perlu melakukan apa jua tindakan dibenarkan undang-undang bagi memastikan kemenangan partinya.

“Namun, pendirian bongkak lagi angkuh Adenan ini melangkaui batas dan menzahirkan wajah sebenarnya sebagai pemimpin yang menggunakan kuasa eksekutifnya secara melulu,” kata Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor dalam kenyataan medianya.

Mohamed Azmin berkata, Adenan perlu memastikan rakyat Sarawak tidak lagi ditindas dalam apa-apa jua cara sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

Katanya, Sarawak terlalu lama bertolak ansur tentang autonomi mereka dan menggadaikan rakyat Sarawak di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Tindakan menghalang atau memendekkan tempoh kemasukan saya dan rakan-rakan dari KEADILAN dan DAP tidak akan menyucikan noda dan salah laku pemimpin BN.

“25 orang Ahli Parlimen mereka menyokong GST di Parlimen, BN Sarawak melakukan sedikit sahaja usaha dalam menghapuskan terus polisi kabotaj, dan mereka juga gagal mendapatkan peruntukan mencukup dari Kerajaan Persekutuan bagi memperbaiki sistem pendidikan dan kesihatan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, isu itu amat dekat di hati rakyat Sarawak dan kerajaan yang mendakwa mengekalkan autonomi Sarawak perlu meletakkan keutamaan tinggi kepada perkara ini.

“Rakyat Sarawak layak melalui proses pilihan raya bersih dan adil. Justeru, perkara ini meliputi hak mereka memilih sesiapa mereka percaya, cara serta personaliti berkempen di sana – tanpa halangan mahupun rintangan.

“Diskriminasi terhadap pemimpin pembangkang Persekutuan dari Semenanjung dan sikap pilih kasih terhadap pemimpin UMNO-BN ini pencabulan terhadap hak pengundi Sarawak.

“Rakyat Sarawak pastinya menaruh harapan bahawa persaingan adil terlaksana dalam pilihan raya ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.