OLEH : NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 12 APR: Malaysia Book of Records mengesahkan pementasan Teater Atas Pokok merupakan teater pertama di Malaysia dipentaskan di atas pokok.
Pengarah Teater itu, Shamsudin Othman, berkata Malaysia Book of Records akan menyampaikan sijil pengiktirafan mereka kepada pihak produksi pada hari pertama pementasan iaitu 16 April nanti.
“Malaysia Book Of Records sudah mengesahkan yang Teater Atas Pokok ini adalah yang pertama di Malaysia dan diberi sijil pengiktirafan pada 16 April.
“Teater seumpama ini belum pernah dipentaskan di atas pokok. Ini adalah perkara baru. Perkara baru begini memang beri kelainan yang baru tidak ada dalam pementasan lain,” kata Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Dinsman.
Katanya, Teater Di atas Pokok turut menarik minat penyunting bagi majalah Asian Theater Journal yang juga seorang profesor dari Amerika yang mempunyai kepakaran dalam kajian persembahan teater di Asia.
Ketika ditanya sambutan orang ramai terhadap pementasan teater itu, Shamsudin memberitahu pihak beliau menerima reaksi memberangsangkan daripada orang ramai.
“Setakat ini kita terima sambutan baik. Ada beberapa kumpulan yang menunjukkan keterujaan nak datang. Bahkan ada cikgu di sebuah sekolah di pendalaman Sarawak beritahu saya dia dah tempah tiket kapal terbang untuk menonton teater ini.
“Oleh kerana teater seumpama ini adalah satu perkara baru, jadi memang ramai orang berminat nak tengok. Lagipun perkara baru memang perlu tengok,” ujarnya.
Menyentuh isu keselamatan pula, Shamsudin memberitahu pementasan Teater Atas Pokok memerlukan piawaian keselamatan lebih ketat berbanding pementasan lain yang beliau pernah terlibat.
Bagaimanapun perkara itu dapat diatasi melalui latihan dan nasihat keselamatan yang diberikan penasihat bagi memastikan ciri keselamatan untuk pelakon sentiasa terjamin.
Teater Atas Pokok bakal dipentaskan pada jam 9.00 malam, 16 dan 17 April ini di hadapan Kedai Kopi 2, Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam.
EZY