Categories
NASIONAL

Ismail bukukan perjuangan menentang Lynas demi generasi akan datang

OLEH : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 18 APR: Ismail Abu Bakar mengambil keputusan mengabadikan liku perjuangan kumpulan penentang pembinaan Lynas di Kuantan dalam buku ‘Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas’ yang ditulisnya supaya menjadi bahan rujukan generasi akan datang.

Ismail, 68, berkata, buku diterbitkan Gerak Budaya Enterprise itu mampu menjadi salah satu sumber rujukan penting generasi muda untuk mengetahui kisah sebenar sebalik perjuangan bagi memastikan rakyat di kawasan sekitar kilang Lynas tidak menderita disebabkan kesan projek terbabit.

Buku Lynas“Saya bukan pandai atau pakar tetapi disebabkan semangat ada bersama kumpulan rakyat yang terjejas dalam pembinaan kilang Lynas ini menyebabkan saya mendokumentasikannya,” kata Ismail.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas di Rumah Gerak Budaya, di sini, semalam.

Katanya, buku disunting Ketua Biro Alam Sekitar KEADILAN, Lee Chean Chung itu turut memuatkan kisah perjumpaan kumpulan penentang dengan seorang Senator Australia di Australia, Duta Australia ke Malaysia dan pelbagai pihak bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak berkenaan.

Lebih menarik, buku mengandungi 153 muka surat itu turut menyenaraikan kesan protes dijalankan kumpulan penentang dan rakyat terhadap kerajaan termasuk kejayaan mendapatkan perintah mahkamah supaya menangguhkan operasi pengeluaran Lynas.

20160417_160316Kesan daripada perintah mahkamah itu, saham Lynas turut mengalami kejatuhan dan memberi masa lebih panjang untuk kumpulan protes menjalankan usaha lain bagi menghalang Lynas beroperasi.

Bagaimanapun, Ismail menyifatkan usaha kumpulan dan rakyat menentang pencemaran alam sekitar itu sebagai perjuangan yang belum selesai ekoran timbulnya isu bauksit di Kuantan.

Buku berharga RM18 senaskhah itu boleh dibeli di Rumah Gerak Budaya di No 2, Jalan Bukit 11/2, Petaling Jaya atau secara dalam talian di gbgerakbudaya.com/bookshop/.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.