OLEH EMRIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 6 APRIL: KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya penahanan Timbalan Setiausaha Agung parti itu, Rafizi Ramli berkenaan pendedahan dokumen sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. berkata tindakan terbabit adalah keterlaluan dan bertentangan dengan prinsip demokrasi apabila rakyat diugut dengan pelbagai akta bersifat kuku besi.
“Pendirian KEADILAN berkenaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) adalah konsisten dan jelas.
“KEADILAN menentang penggunaan akta kuku besi ini untuk menakut-nakutkan dan mendiamkan musuh politik rejim Umno Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Naib Presiden KEADILAN itu ditahan kira-kira 10 polis sejurus keluar dari Parlimen jam 6.05 petang dan disiasat di bawah eksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Penahanan beliau susulan pendedahan dokumen Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Rafizi sebelum ini menegaskan beliau bersedia direman dengan syarat Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy turut berdepan hukuman sama.
Namun sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dibuat terhadap Arul susulan dakwaan penyelewengan membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad.
-AA-