OLEH : ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 15 APR : Permuafakatan antara kaum di seluruh negeri terus diperkukuhkan dengan pelbagai pelaksanaan dasar peduli rakyat tanpa mengambil kira perbezaan kaum dan agama.
Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan negeri konsisten memacu pertumbuhan kemajuan ekonomi negeri yang inklusif dengan memberi layanan adil kepada warga Selangor.
“Dalam konteks Malaysia hari ini, rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya inginkan perkara yang sama, yakni hidup yang sejahtera, aman dan selamat.
“Nilai hidup seperti saling menghormati dan kasih sayang seharusnya dijadikan asas kemajuan masyarakat, bukannya pemahaman perkauman yang sempit dan mementingkan diri sendiri,” katanya dalam perutusan perayaan tahun baru masyrarakat Hindu dan Sikh, semalam.
Mohamed Azmin berkata masyarakat Sikh dan Hindu menikmati gagasan Smart Selangor yang peduli menerusi beberapa skim bantuan dan program berterusan dilaksanakan kerajaan negeri khususnya dalam bidang pendidikan.
Antaranya program pemberian subsidi tambang pas kepada anak peladang miskin, program tuisyen percuma dan Tabung Anak Pekerja Ladang menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
“Saya mengucapkan selamat tahun baru kepada masyarakat Hindu dan Sikh yang masing-masing menyambut Chithirai dan Vaisakhi.
“Semoga perayaan ini disambut dengan penuh makna bersama keluarga dan seluruh masyarakat di Malaysia,” katanya.
-nR-