OLEH : AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 11 APR: Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menghentikan amalan menghalang ahli politik daripada memasuki Sarawak demi demokrasi yang adil.
Wan Azizah berkata, tindakan itu mendukacitakan sedangkan kehadiran pimpinan Pakatan Harapan ke Sarawak dengan niat melakukan kerja politik tidak menyalahi undang-undang.
“Tindakan pentadbiran Tan Sri Adenan Satem menghalang kemasukan ahli politik khusus dari Pakatan Harapan mendukacitakan.
“Dalam demokrasi sihat, pertandingan politik adil dan sama rata mewajibkan parti politik dari pihak pemerintah dan pembangkang diberi peluang sama untuk bertemu pengundi.
“Selagi tiada undang-undang dilanggar, kekangan dan halangan tidak patut dikenakan. Tetapi apa berlaku sekarang menunjukkan parti pembangkang diberi layanan berbeza,” katanya.
Halangan masuk ke Sarawak terbaru dikenakan terhadap Exco Kerajaan Pulau Pinang merangkap Adun Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Sim Tze Tzi yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap Pengarah Strategi KEADILAN.
Kedua-dua mereka dihalang memasuki Sarawak tanpa diberi penjelasan.
“Diharap Tan Sri Adenan adil dan bersikap terbuka; beliau perlu menonjolkan pentadbiran lebih baik dan adil berbanding sebelum ini.
“Marilah kita sama-sama melakukan terbaik buat masa depan rakyat Sarawak,” katanya yang juga Presiden KEADILAN.
EZY