Categories
KENYATAAN MEDIA

Laporan PAC terhadap 1MDB

Kenyataan Media Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang Mewakili Pihak Pembangkang Parlimen Mengenai Laporan PAC Terhadap 1MDB pada Selasa, 19hb April 2016 di Kuala Lumpur
1. Laporan Ketua Audit Negara Mengenai 1MDB

Kami ingin menegaskan sekali lagi supaya Pengerusi PAC memberikan jaminan bahawa Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akan dibentangkan kepada Parlimen.

Keengganan Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin untuk mengulas sebab Laporan tersebut tidak dibentangkan bersama Laporan PAC terhadap 1MDB telah menjejaskan integriti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan oleh Parlimen untuk menjaga penggunaan hasil kerajaan.

Apatah lagi, Pengerusi PAC telah memberikan gambaran kepada media bahawa Laporan PAC tidak mempersalahkan Perdana Menteri, maka tiadalah keperluan lagi untuk merahsiakan Laporan Ketua Audit Negara.

2. Hansard Prosiding PAC

Laporan PAC telah mengandungi Hansard prosiding PAC yang merakamkan segala soalan, jawapan dan pembentangan oleh saksi-saksi yang dipanggil oleh jawatankuasa.

Akan tetapi, Hansard yang merekodkan

(i) pembentangan dan perbincangan Laporan Ketua Audit Negara antara Jabatan Audit Negara dengan PAC.
(ii) perbincangan antara ahli-ahli PAC dan juga pegawai-pegawai kerajaan bertugas semasa menyediakan Laporan PAC.

tidak diterbitkan dan dibentangkan kepada Parlimen.

Hansard-Hansard ini merupakan rekod yang penting untuk mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai siasatan PAC ke atas 1MDB.

Tambahan pula, segala mesyuarat PAC merupakan mesyuarat rasmi di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat di mana Hansard atau buku penyata rasmi mesyuarat perlu diterbitkan.

Peraturan Mesyarat 10(1) menyebut bahawa “sebuah buku penyata rasmi mesyuarat mengandungi semua ucapan-ucapan yang dikeluarkan dalam Majlis Mesyuarat dan dalam Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat, hendaklah disediakan…”

Oleh itu, kami menggesa supaya Pengerusi PAC akan menerbitkan kesemua Hansard yang tertunggak sekurang-kurangnya di dalam laman web Parlimen.

3. Perbezaan antara Laporan PAC yang diluluskan dengan Laporan PAC yang diterbitkan

Kami telah mendapati bahawa Pengerusi PAC telah membuat penyuntingan yang sirius ke atas Laporan yang telah diluluskan oleh mesyuarat PAC pada 4hb April 2016.

Laporan PAC pada mukasurat 25, menyebut bahawa “Berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh Datuk Shahrol Azral pada 5 Jun 2015 dan kenyataan beliau semasa mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 25 November 2015, akaun tersebut adalah milik Good Star Limited yang merupakan subsidiari Kumpulan PetroSaudi sejak 1 September 2009”.

Akan tetapi, Pengerusi PAC telah memotong sepatah ayat lagi yang telah disetujui dalam mesyuarat. Ayat tersebut berbunyi “Bank Negara Malaysia (BNM) telah dimaklum secara sukarela oleh pihak berkuasa negara berkenan bahawa Good Star Limited merupakan sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang individu yang tiada berkaitan dengan Kumpulan PetroSaudi.”

Tindakan Pengerusi PAC untuk memotong ayat yang telah dipersetujui oleh mesyuarat PAC merupakan satu tindakan yang jelas melanggar peraturan mesyuarat dan menimbulkan kecurigaan terhadap niat Pengerusi untuk menutup kes.

Datuk Hasan Arifin tidak pernah membincang perkara tersebut dengan kami, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Pada masa yang sama, atas permintaan PAC, Datuk Hasan Arifin juga memaklum bahawa beliau telah menulis surat kepada Bank Negara untuk mendapat maklumat tambahan mengenai pemilik individu tersebut. Kami belum tahu sama ada balasan daripada BNM telah diterima oleh Pengerusi.

Kami menyeru supaya Datuk Hasan Arifin memperbetulkan Laporan PAC dengan serta-merta melalui satu kertas pembetulan kepada Parlimen.

4. Pembatalan Perjanjian “Debt-Asset Swap” dengan IPIC

Dengan berita terbaru semalam bahawa pihak International Petroleum Investment Corporation (IPIC) telah membatalkan perjanjian debt-asset swap dengan 1MDB, kami meminta supaya Datuk Hasan Arifin akan memanggil mesyuarat PAC secepat mungkin untuk membincang perkara ini.

Ia adalah kerana 1MDB telah memberikan gambaran palsu bahawa pelan rasionalisasi syarikat telah berjalan dengan lancar dan 1MDB tidak akan memerlukan sebarang bantuan daripada kerajaan untuk menyelesaikan pinjaman-pinjamannya yang melebihi RM50 bilion.

Akan tetapi semalam, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Malaysia akan menanggung kesemua obligasi 1MDB yang tidak dapat diselesaikan oleh syarikat.

Ahli-ahli PAC Pembangkang bersedia untuk bekerjasama dengan ahli-ahli PAC penyokong kerajaan untuk mendapatkan maklumat sebenar daripada siasatan tambah terhadap 1MDB.

Dikeluarkan oleh:

Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi PAC
Datuk Kamarul Baharin
William Leong
Datuk Takiyuddin Hassan
Tony Pua

Leave a Reply

Your email address will not be published.