SHAH ALAM, 6 APR : Selangor terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 bertemu Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
Tindakan pertahanan Selangor, Raimi Mohd Nor menjatuhkan Calos Eduardo memberi kelebihan kepada pasukan Hijau Kuning menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke 65 sekaligus meleburkan impian The Red Giants meraih tiga mata berharga.
Ia adalah keputusan seri kedua diraih Selangor dalam liga musim ini selain menang tiga kali dan seri sekali yang menyaksikan mereka mengumpul 11 mata.
Dalam pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan itu selepas final Piala Malaysia musim lalu itu, Kedah bermula garang dengan membariskan pemain mudanya.
Pasukan tuan rumah, Selangor hampir dikejutkan dengan jaringan pertama Kedah, namun cubaan Sandro Da Silva berjaya ditepis penjaga gol Selangor Norazlan Razali.
Kedah memperoleh jaringan pertamanya pada minit ke 7 menerusi Syazwan Zainon hasil hantaran Rizal Ghazali.
Bagaimanapun, kedudukan itu hanya mampu bertahan selama 29 minit sebelum Selangor bangkit menghukum Kedah dengan dua jaringan pantas menerusi R. Gopinathan dan Patrick Ronaldinho.
Kedudukan 2-1 berpihak kepada tuan rumah kekal sehingga babak pertama ditamatkan oleh pengadil perlawanan, Muhd Nazmi Nasaruddin.
Kedah yang ingin bangkit pada separuh masa kedua berjaya mendominasi bahagian tengah menerusi pemain importnya, Liridon Krasniqi selain dibantu oleh pemain muda skuad Helang Merah, Amirul Hisyam.
Bagaimanapun, tindakan Raimi Mohd Nor menjatuhkan Calos Eduardo membuka ruang buat Kedah mencipta jaringan dengan sepakan penalti.
Pemain import Brazil, Sandro Da Silva memastikan Kedah mendapatkan jaringan penyamaan apabila berjaya menewaskan Norazlan ketika menyempurnakan sepakan penalti itu.
Kedudukan 2-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan walaupun kedua-dua pasukan saling mengatur serangan sehingga ke akhir permainan.
-nR-