OLEH : ERMIZI MUHAMAD
KLANG, 29 APR : Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menunaikan Solat Jumaat di Masjid Asy Syariff, Meru di sini.
Raja Muda lengkap berpakaian baju Melayu berwarna biru muda tiba di perkarangan masjid jam 1 tengah hari tadi bagi mendengar bacaan khutbah Jumaah.
Kira-kira 500 jemaah hadir bersama-sama menunaikan Solat Jumaat di masjid tersebut.
Selesai menunaikan solat, Raja Muda sempat meluangkan masa kira-kira 15 minit bersalaman dengan para jemaah.
Kesempatan itu digunakan sebaiknya para jemaah untuk merakamkan video dan gambar kenangan bersama putera raja berjiwa rakyat itu.
Tengku Amir Shah merupakan putera tunggal kepada Sultan Selangor, Sultan Sharaffudin Idris Shah dan Cik Puan Nur Lisa Idris Abdullah.
Walaupun berdarah Diraja, Tengku Amir cukup dikenali rakyat Selangor sebagai putera raja berjiwa rakyat dan sentiasa fokus kepada kebajikan masyarakat seluruh negeri.
Ini terbukti apabila baginda sendiri menjadi penaung kepada Pertubuhan Kebajikan Selangor Cheshire Home, Make a Wish dan Yayasan Raja Muda Selangor.
Diharap sikap peduli rakyat dipamerkan Institusi Diraja Selangor dimanfaatkan sebaiknya masyarakat untuk terus menjana kepada kesejahteraan negeri ini.
EZY