OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 7 APRIL: Kerajaan Negeri yakin Pulau Indah mampu dibangunkan sebagai taman perindustrian moden serta pulau pelancongan eko di Selangor.
Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim, berkata iltizam dan komitmen tinggi ditunjukkan pengurusan dan kakitangan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (Central Spectrum) diyakini mampu merealisasikan harapan itu pada masa hadapan.
“Pulau Indah mampu menjadi sebuah pulau contoh yang bakal menerajui taman perindustrian sebagai pusat pelaburan utama di Selangor dan Malaysia amnya.
“Di samping itu, dengan strategi berkesan ia juga mampu dijadikan sebagai sebuah pulau berasaskan pelancongan eko,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan ucapan mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis pelancaran Cofee Table Book Pulau Indah Scenic & Enchanting di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Mahmud Abbas.
Pada masa sama, Chang Khim berkata, Central Spectrum dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) diharapkan boleh bekerjasama bagi pembangunan pulau itu untuk memastikan gambaran dalam buku terbabit mampu menjadi daya tarikan baru.
Katanya, Central Spectrum sudah membuktikan kesungguhan dengan membangunkan pulau berkenaan untuk dijadikan permata bernilai bagi dumajukan sebagai taman perindustrian biarpun berdepan masalah pada awalnya.
“Pada tahun lalu, Central Spectrum mencatatkan keuntungan dan jualan tertinggi di dalam sejarah penubuhannya melalui hasil jualan hartanah kepada pelabur dalam dan luar negara.
“Pembangunan rancak kini mendorong kehadiran masyarakat luar untuk bekerja di situ selain aktiviti tradisional masyarakat kampung dan orang Asal iaitu pertanian serta perikanan,” katanya.
Dengan pengenalan buku itu, beliau berharap Central Spectrum dapat bekerjasama dengan Tourism Selangor, Invest Selangor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Tourism Malaysia dalam mempromosikannya ke luar negara.
“Ia juga boleh dijadikan satu momento kenangan dalam lawatan Kerajaan Negeri ke luar negara sebagai tanda persahabatan atau buku undangan khas pelabur luar ke pulau berkenaan.
“Sudah tiba masanya ia dipopularkan kepada masyarakat umum dengan mengenengahkan tempat menarik di pulau ini sebagai lokasi pelancongan,” katanya.
Pulau Indah mempunyai empat perkampungan tradisi iaitu Kampung Sungai Pinang, Kampung Teluk Nipah, Kampung Sungai Kembong dan Kampung Perigi Nenas dengan populasi hampir 17,000 orang terdiri dari masyarakat Melayu dan orang Asal.
-AA-