OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 1 APRIL: Sejumlah RM9.15 juta peruntukan tambahan diluluskan pada 29 Februari lalu bagi menaik taraf dan membaik pulih kemudahan di Stadium Shah Alam.
Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata antara cadangannya adalah menaik taraf pintu utama tetamu kehormat (VIP), ruang menunggu, ruang makan dan ruang menonton diraja dengan penggantian kerusi tetamu terhormat (VVIP), penaja dan media.
Katanya, cadangan kerja lain termasuk menaik taraf lampu limpah daripada 1,200 flux kepada 2,000 flux.
“Selain itu, pada 20 Januari lalu, peruntukan RM2 juta turut diluluskan bagi cadangan baik pulih dan naik taraf sistem pintu masuk penonton.
“Semua kerja ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai April tahun ini, lebih tepat selepas kerja penggantian rumput yang kini 90 peratus kadar kerjanya, selesai sepenuhnya,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Budiman Zohdi berkenaan cadangan menaik taraf dan jumlah pendapatan hasil sewaan Stadium Shah Alam.
Pada masa sama, Amirudin berkata, bermula Januari hingga November 2015, hasil sewaan diperoleh hampir mencecah RM700,000.
“Stadium utama sewajarnya kita mampu membuat kutipan RM99,482 bersekali Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kita berjaya kutip RM99,317, iaitu bersamaan 99.83 peratus.
“Sementara itu, bagi tempat letak kereta bagi tujuan program dan acara, sasaran kutipan adalah RM606,572 dan hasil kutipan pula RM598,000 iaitu bersamaan 98.71 peratus,” katanya.
-AA-