OLEH : NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 15 APR: Syarikat mengurus Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor, Wadacs Resources membuktikan sebuah litar lumba awam mampu dibina tanpa perlu kos jutaan ringgit.
Ketua Sukan Pemotoran Wadacs Resources, Asmawi Askor, berkata kesungguhan membina litar itu demi impian melihat anak muda berlumba secara sah di litar lumba sebenar.
Katanya, lebih membanggakan lagi apabila Kerajaan Negeri turut proaktif memainkan peranan meningkatkan kemudahan di litar terbabit.
“Saya amat berterima kasih dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang memahami keperluan anak muda dengan bersetuju membantu litar dengan menyalurkan peruntukan dan kerja awal juga sudah diselesaikan.
“Saya dimaklumkan Kerajaan Negeri juga bersedia mengeluarkan peruntukan tambahan supaya litar lebih sempurna dan menarik.
“Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) juga beri kerjasama baik sekaligus mengurangkan kadar perlumbaan haram di Kuala Selangor,” katanya kepada SelangorKini hari ini.
Jelasnya, antara kerja awal yang sudah dilaksanakan di litar terbabit termasuklah kerja penambahbaikan pagar keselamatan, sistem saliran, penambahan tayar sebagai dinding keselamatan di litar, penurapan tar di lokasi tertentu litar, mengalihkan tiang lampu litar, pendawaian sistem elektrik dan keperluan keselamatan litar.
Sebelum ini, Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dalam satu kenyataannya memberitahu Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200,000 untuk menaiktaraf Litar Lumba Rakyat di Kuala Selangor.
Asmawi menambah, bayaran RM20 hingga RM30 yang dikenakan kepada pengguna litar pada masa ini hanya cukup untuk membiayai kos menyelenggara litar, saguhati untuk petugas sukarela dan sedikit simpanan.
“Sesuai dengan konsep litar untuk bantu rakyat marhaen berbajet ‘ciput’ yang ada semangat dan keinginan untuk menceburi sukan pemotoran, kadar bayaran ini akan terus dikekalkan,” katanya.
-nR-