OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 1 APRIL: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sedang giat merangka rancangan tebatan banjir Sungai Bernam di Sungai Tengar Utara dengan kos RM12 juta.
Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia bagi merealisasikan projek perkampungan asnaf dan golongan miskin yang memerlukan tanah di kawasan itu.
“Disebabkan ada bantahan kuat daripada penduduk berhadapan masalah tanah, maka Kerajaan Negeri bersetuju supaya ia dikembalikan untuk pembangunan projek perkampungan asnaf dan golongan miskin di Kampung Sungai Tengar Utara.
“Diharap JPS dapat menyelesaikan isu banjir di kawasan itu sebelum projek berkenaan siap” katanya ketika sesi penggulungan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.
Mohamed Azmin berkata, tanah terbabit sebelum ini diserahkan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk tujuan penanaman kelapa sawit.
Bagaimanapun, katanya, tanah itu didapati tidak sesuai dan sering ditenggelami air serta banjir.
-AA-