OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 1 APRIL: Universiti Selangor (UNISEL) terus progresif ke arah pendemokrasian pendidikan dengan memperkenalkan program asasi percuma mulai Mei ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia bertujuan memberi peluang pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah meneruskan pengajian dalam bidang sains dan teknologi maklumat.
Katanya, pelajar terpilih juga disyaratkan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UNISEL.
“Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UNISEL bersetuju menawarkan Skim Derma Siswa UNISEL secara percuma kepada 500 pelajar Asas Sains dan Asas Teknologi Maklumat mulai Mei 2016.
“Kita yakin kejayan program perintis ini dapat membantu pelajar cemerlang merealisasikan cita-cita pendidikan negara, bahkan menyuntik nilai tambah dan reputasi UNISEL sebagai salah satu universiti awam pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.
-AA-